Friday, October 5, 2007

Element-element seni pada lukisan Marie Louise Elisabeth Vigée-Lebrum

P E N G E N A L A N

Biodata Pelukis
Nama pelukis ini adalah Marie Louise Elisabeth Vigée-Lebrum. Beliau dilahirkan di Paris pada tahun 1755 dan merupakan anak kepada pasangan Louis Vigée iaitu seorang pelukis potret minor dan Jeanne Maissin, seorang pendandan rambut. Beliau merupakan seorang pelukis wanita yang terkenal dengan lukisan potretnya. Sejak kehilangan bapanya pada usia 15 tahun, beliau telah menyara ibu dan adik lelakinya dengan menjual hasil karya lukisannya serta telah berkahwin pada usia 20 tahun (1775). Beliau sangat suka melukis potret dirinya sendiri ketika awal remaja seperti ‘Self Potrait’ (1775) dan ‘Self Potrait With Her Daughter’ (1789). Pada tahun 1778, beliau telah melukis potret Permaisuri Marie Antoinette dan lukisan tersebut telah disimpan di Palace of Versailles. Pada tahun 1783 beliau telah menjadi salah seorang ahli Académie Royale serta telah menghasilkan lebih 800 lukisan pada kanvas. Beliau pernah menghasilkan sebanyak 6 salinan lukisan iaitu dua daripadanya disimpan di Perancis, satu telah dibakar atau dicuri oleh pihak British pada 1812, satu lagi di simpan di ‘Catherine the Great’ tetapi lokasi tidak diketahui dan dua lagi lukisannya telah hilang. Reputasinya dalam bidang lukisan ini berkembang dengan cepat apabila mendapat permintaan daripada sosialis seperti Count Schouvaloff, Countess d'Harcourt, dan Count Orloff. Apabila beliau berada selama 6 tahun di Rusia, beliau telah banyak menghasilkan potret aritokrasi dan koleksi lukisannya telah dikumpul di ‘National Museum of Women in the Arts’. Pelukis ini pernah menghasilkan lukisan potret Puteri Belozersky pada tahun 1798 ketika berada di St.Petersburg. Beliau meninggal dunia pada tahun 1842 pada usia 87 tahun selepas kembali ke paris pada tahun 1802.

MEDIUM : Minyak pada kanvas

TAHUN DISIAPKAN : 1800

SUBJEK : Lukisan potret Elisabeth Vige-Lebrun yang sedang melukis potretnya pada kanvas

OBJEK : Potret, Berus lukisan, Rantai, Skaf







ANALISA ELEMEN GARISAN

ah 1a

Garisan adalah titik-titik yang bersambung secara berterusan. Terdapat 5 jenis garisan iaitu menegak, mendatar, bengkok, melingtang dan zig zag. Dengan penghasilan garisan, pelukis dapat menyampaikan maklumat kepada permerhati melalui pemerhatian terhadap titik-titik yang dilukis. Ketebalan, ketajaman, dan kepanjangan garisan akan dapat menarik minat para pemerhati. Garisan-garisan yang disambungkan ini juga dapat menghasilakan rupa.

Di dalam lukisan potret ini, unsur-unsur garisan dapat dilihat dengan jelas. Antara garisan tersebut adalah garisan melintang pada bahagian badan dan tangan dapat menunjukkan keadaan objek yang sedang bergerak dan tak stabil. Keadaan garisan yang tidak menegak dan melintang seakan-akan menunjukkan bahagian badan dan tangan seperti akan jatuh ke bawah. Lukisan ini menekankan ketidakstabilan graviti di bahagian yang mempunyai garisan sedemikian.

Garisan lurus yang membentuk objek pada dinding yang bersebelahan objek utama (wanita) seolah-olah memberi petunjuk bahawa wanita ini adalah seorang pelukis yang sedang melukis wajahnya sendiri. Garisan condong yang digunakan dalam lukisan ini turut menghasilkan lukisan yang kelihatan seolah-olah 3 dimensi.






Garisan melengkung pada bahagian tengkuk pula mengambarkan keadaan yang sebaliknya. Garisan ini seakan-akan menunjukkan kekuatan dan tenaga. Garisan yang membentuk kain merah di bahagian lengan juga seolah-olah menunjukkan keadaan kain itu terikat kejap di bahagian tubuhnya. Selain kekuatan, garisan lengkuk juga menggambarkan kelembutan sepert garisan di bahagian pipi dan tangan.





Garisan yang berulang-ulang juga turut membentuk corak seperti pada bahagian skaf di kepala dan rantai leher yang dipakai. Kepelbagaian garisan pada dua bahagian ini menonjolkan irama yang tenang yang cuba ditonjolkan oleh pelukis. Ciri-ciri garisan lengkuk yang bertenaga, berkualiti, dan bersifat semula jadi ini digunakan bagi menonjolkan benda-benda berharga yang dipakai wanita ini. Ini menunjukkan kemewahan yang dimiliki oleh pelukis ini atas kejayaannya sebagai seorang pelukis potret..




ANALISA ELEMEN RUPA DAN BENTUK

Secara umumnya, terdapat 2 jenis bentuk di dalam lukisan iaitu bentuk geometri dan bentuk organik. Terdapat juga bentuk konkrit (3-dimensi) dan ilusi (2-dimensi). Bentuk-bentuk geometri adalah seperti segi 3, segi 4 dan bulat atau bentuk-bentuk ciptaan manusia. Manakala bentuk organik adalah lebih kepada bentuk-bentuk semula jadi yang tidak stabil seperti bentuk rambut dan muka. Bentuk 2-dimensi adalah seperti bentuk wajah manusia yang dilukiskan di bahagian kanan lukisan. Ia bersifat rata dan tidak berjisim .Rupa pula lebih kepada 3-dimensi. walaupun lukisan tersebut

sememangnya 2-dimensi, namun bentuk bayang dan tonasi warna menyebabkan wajah wanita yang dilukis seakan-akan 3 dimensi.
Rupa lebih kepada benda yang berjisim dan berisipadu. Ia dapat dilihat pada bahagian tubuh badan wanita ini yang mempunyai sudut condong akibat penstabilan diri kesan pengaruh graviti. Maka jelas ianya seakan-akan mempunyai berat dan berjisim .

ini contoh penggunaan unsur bentuk oleh pelukis dalam lukisannya. Pelukis lebih tekankan bentuk segi 3 di dalam lukisan ini. Contoh terbaik dapat dilihat pada sisi kanan badan wanita ini, muka dan tangan..


ANALISA ELEMEN WARNA
Warna merupakan salah satu elemen seni yang amat penting. Warna mampu memberikan pengaruh terhadap jalinan, ruang, kesan kontra dan sebagainya. Warna terjadi dengan adanya bantuan sumber cahaya, apabila sumber cahaya dipancarkan ke satu permukaan, ianya akan memantulkan suatu warna dan ianya bersifat natural dan secara tidak langsung elemen seni ini mampu menghasilkan dan mewujudkan kaitan dengan psikologi dan emosi. Warna boleh di bahagikan kepada beberapa kategori iaitu warna asas, warna sekunder dan warna tertier. Warna asas terdiri daripada tiga warna iaitu merah, biru dan kuning (Rajah 4a). Warna asas merupakan sekelompok warna yang mempunyai kuasa yang hebat. Daripada warna asas inilah warna- warna yang lebih menarik dan pelbagai dapat dihasilkan.

Kesan terhadap penggunaan elemen warna dalam karya seni dapt menghasilkan sesebuah karya yang menarik dan penuh makna. Warna dapat menutup ketidaksempurnaan sesuatau coretan atau lakaran karya seni, memberi suatu suasana yang dapat ditafsir oleh orang ramai, mempengaruhi mood dan cara pandangan terhadap aspek ruang, jalinan dan juga mengahsilkan pelbagai perspektif baru dan menarik.

Dalam lukisan Elisabeth Vige-Lebrun, penggunaan warnanya adalah amat ketara. Dapat dilihat dalam karyanya, beliau cuba menonjolkan objek utama dalam lukisan ini iaitu dirinya melalui penggunaan warna yang pekat dan terang. Manakala warna yang agak pudar dan cair; coklat cair dan putih kekelabuan ditekankan pada bahagian latar belakang potret ini. Ini bertujuan menunjukkan objek yang sedang dilukis olehnya iaitu potret dirinya sendiri menjadi fokus utama dalam lukisannya. Di sini beliau telah berjaya mewujudkan kesan kontra di antara objek utama dan sampingan.

Warna yang pekat dan terang ini terutamanya warna merah dan hitam telah berjaya memberikan unsur kekuatan serta memberikan penegasan terhadap objek utama seterusnya menonjolkan keceriaan terhadap diri pelukis disamping keamatan warna ini yang benar-benar jelas . Warna yang cair dan agak suram yang digunakan pada selain objek utama ini seolah-olah tidak begitu ditekankan dalam karya ini, menjadikan bahagian tersebut sebagai sampingan dalam lukisan ini.

Dengan wujudnya gabungan diantara warna-warna terang, pekat, cair dan suram ini,satu nilai yang harmoni telah berjaya diwujudkan dalam lukisan ini. Selain itu dapat diperhatikan adanya unsur-unsur klasikal dengan mainan warna yang menarik ini. Penggunaan warna dalam potret ini tidak keterlaluan, ianya kelihatan kemas dan ringkas tetapi mampu menghasilkan satu hasil yang indah dipandang.

ANALISA ELEMEN JALINAN

Jalinan merujuk kepada kesan dan kualiti sesuatu permukaan atau perasaan yang dapat dirasai apabila menyentuh sesuatu permukaan seperti kasar, halus, lembut dan keras. Jalinan boleh dibahagikan kepada dua iaitu jalinan sentuh (dapat dirasai melalui sentuhan) dan jalinan tampak (hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat disentuh). Jalinan-jalinan ini diwujudkan melalui gabungan pelbagai warna, garisan yang diulang-ulangi dan bentuk berus yang berbeza. Penekanan kepada warna dan garisan yang berhati-hati dapat menonjolkan sifat jalinan yang cuba disampaikan dalam sesebuah karya seni.

Contohnya dalam gambar ini, kontra warna yang digunakan berjaya mewujudkan unsur jalinan dengan baik. Kontra warna seperti merah, putih dan hitam dan yang ditonjolkan menunjukkan permukaan kain adalah halus dan lembut. Manakala warna coklat gelap dan garisan yang berselerak di bahagian kanan lukisan mengambarkan jalinan yang lebih kasar pada bahagian dinding. Selain itu, jalinan yang ditunjukkan pada rantai yang dipakai pelukis adalah bersifat keras dan kasar.

ANALISA ELEMEN RUANG
Ruang adalah kekosongan yang dapat dilihat di bahagian atas, bawah, kiri dan kanan objek yang dilukis. Ruang terbahagi kepada dua jenis iaitu ruang positif dan ruang negatif. Ruang positif adalah ruang dimana objek utama dilukis manakala ruang negatif pula adalah ruang yang selain ruang di bahagian objek utama. di bawah menunjukkan aplikasi ruang positif (keseluruhan tubuh wanita), dan menunjukkan ruang negatif (latar belakang wanita).





Ruang juga dapat digunakan untuk membuat lukisan 2-dimensi kepada 3-dimensi. Ini dapat diperolehi dengan memasukkan unsur-unsur nilai ke dalam lukisan tersebut. Umpamanya, nilai pencahayaan. Dalam dapat dilihat perbezaan pencahayaan pada objek di sebelah kiri (wajah wanita) di bandingkan objek disebelah kanan (lukisan wajah pada kanvas). Wajah wanita itu jauh lebih terang dan menonjol berbanding lukisan wajah pada kanvas yang lebih bersifat malap dan suram. Perbezaan ini menimbulkan satu tanggapan bagi pemerhati bahawa terdapatnya satu ruang terbentuk antara tubuh wanita itu sendiri dan imej lukisan disebelah kanan. Selain daripada itu, unsur ruang ini juga dikatakan wujud melalui adanya beza
saiz wajah wanita dan imej lukisan pada kanvas. Perbezaan ini dapat dijelaskan dari aspek orientasi atau kedudukan semasa objek itu dilukiskan. Jelas sekali, objek yang bersaiz besar mencerminkan kedudukan objek adalah hampir dengan pelukis manakala objek bersaiz kecil cenderung berada lebih jauh dari pelukis.

Bentuk bayang yang besar pada permukaan berwarna coklat muda dalam juga dapat menunjukkan adanya penggunaan unsur ruang. Permukaan berwarna coklat muda terletak di bahagian hadapan dan permukaan berwarna hitam terletak di bahagian belakang adalah dua permukaan yang tidak sama jarak.

Ruang negatif di dalam lukisan ini juga tidak diletakkan dengan corak dan garisan Ini menunjukkan bahawa pelukis ingin memberikan penekanan kepada ruang positif. Lebih banyak unsur-unsur seni diterapkan di bahagian ruang positif berbanding ruang negatif yang dibiarkan kosong. Ini bertepatan dengan jenis lukisan yang hendak dibawa oleh pelukis iaitu potret dimana objek pada ruang positif (tubuh wanita).

ANALISA ELEMEN NILAI
Nilai merupakan unsur seni yang memainkan peranan yang penting dalam sesebuah karya seni dan memberikan pengaruh estetika dalam sesebuah karya seni. Sesebuah karya yang hebat semestinya mempunyai nilai estetika yang tinggi. Unsur nilai menekankan aspek pencahayaan gelap dan cerah yang dihasilkan oleh warna dan jalinan. Nilai juga dipanggil ton; samada nilai ton rendah (nilai sederhana ke hitam) ataupun nilai ton tinggi (nilai sederhana ke putih), sifat cerah, bayang ataupun warna.

Potret yang dihasilkan oleh Marie Louise Elisabeth Vigee-Lebrum ini menekankan beberapa nilai seni iaitu dari segi ton warnanya, beliau secara keseluruhannya menekankan nilai ton yang lebih rendah iaitu daripada sederhana ke hitam. Nilai yang dihasilkan beliau juga dapat memberitahu kita darimana sumber cahaya dipancarkan di dalam lukisan ini. Seperti dalam potret beliau, beberapa petunjuk yang berkait rapat dengan sumber pencahayaan ialah bayang-bayang yang yang berada bersebelahan dengan wajah yang dilukis beliau, dan sudut yang dihasilkan oleh bayang-bayang itu menunjukkan sumber cahaya adalah pada bahagian atas yang mmbelakangi beliau .

Selain itu, pencahayaan juga ditonjolkan di bahagian muka dan tangan pelukis berbanding dengan bahagian bersebelahan yang menunjukkan warna yang lebih gelap dan terlindung daripada cahaya. Lazimnya, di dalam sesebuah lukisan, penggunaan pencahayaan yang gelap menggambarkan ketakutan dan kekejaman, manakala penggunaan warna yang lebih cerah menunjukkan kegembiraan dan kesenangan. Bagi potret ini, pelukis lebih menonjolkan pencahayaan yang cerah di bahagian hadapan dan bahagian belakang lebih suram dan gelap. Bahagian yang lebih suram dapat membawa maksud tentang latar belakang kehidupan beliau yang sebelumnya penuh ksengsaraan manakala pencahayaan yang lebih cerah membawa maksud kesenangan dan kegembiraan beliau pada masa tersebut.

KESIMPULAN
Karya Marie Louise Elisabeth Vigée-Lebrum yang menghasilkan potret dirinya sendiri mempunyai unsur-unsur seni yang jelas dan nyata serta mudah untuk dibuat pengolahan. Gabungan antara keenam-enam elemen ini sangat penting dalam penghasilan sesuatu karya yang menarik dan mempunyai nilai yang tinggi.

Lukisan potret ini menggambarkan tentang kesenangan dan kemewahan pelukis setelah 30 tahun mengharungi pelbagai cabaran dan liku-liku hidup selepas ketiadaan bapa kandungnya. Lukisan ini dapat menonjolkan unsur-unsur seni yang mudah diuraiakan oleh pemerhati.

Kepelbagaian unsur seni yang paling asas iaitu garisan telah dapat menghubungkannya dengan psikologi serta emosi pelukis terbabit. Gabungan antara garisan, warna dan bentuk telah menghasilkan ruang yang boleh menimbulkan perbezaan jarak dan kedudukan dalam lukisan potret ini. Penghasilan jalinan tampak pada lukisan potret Elisabeth Vige-Lebrun karya ini turut menghasilkan nilai yang mempunyai pengaruh estetika yang tinggi.

BIBLIOGRAFI

Michael Delahunt. 1996-2007. Artlex Art Dictionary.http://www.artlex.com [19 Ogos 2007]

R.G. Meyer. 2002. The Elements of Art: Articulation: Learning to Look at Art. http://www.brigantine.atlnet.org [19 Ogos 2007]

0 comments:

About This Blog

About This Blog

  © Blogger template Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP